Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

16 Okt 2023 - KAJIAN TENAGA KERJA (KTK) 2023 SEDANG GIAT DIJALANKAN DI SELURUH NEGARA BERMULA

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang giat menjalankan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2023 bermula 16 Oktober hingga 12 November 2023.  

 
KTK 2023 melibatkan kira-kira 3,200 buah keluarga terpilih sahaja di seluruh negara. Bagi memudahkan proses temuduga ianya akan dilaksanakan menggunakan kaedah Computer Assisted Personal Interview (CAPI), di mana pegawai kajian menggunakan tablet bagi menjalankan temuduga bersemuka dengan keluarga terpilih. 
 
Ketua isirumah yang terpilih dipohonkan untuk memberikan sokongan kerjasama menyediakan awal maklumat yang diperlukan bagi melancarkan proses temuduga seperti nombor kad pengenalan setiap ahli isirumah serta maklumat lain termasuk pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. 
 
Keluarga terpilih adalah dinasihatkan supaya memastikan pegawai-pegawai kajian menemuduga adalah pegawai yang dilantik oleh JPES melalui pas kajian rasmi, surat lantikan dan kad pengenalan mereka serta vest rasmi JPES. 
 
Hasil yang diperolehi melalui KTK 2023 adalah sumber maklumat yang penting bagi kegunaan perancangan sosio-ekonomi negara, akademia, penyelidik, penuntut dan orang ramai bagi keperluan dan kegunaan masing-masing. Justeru itu, sokongan dan kerjasama semua keluarga terpilih dalam memberikan maklumat yang tepat dan lengkap adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian ini. 
 
KTK 2023 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam. JPES ingin memberikan jaminan kepada semua keluarga atau isirumah terpilih yang mengambil bahagian dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja. Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak BND4,000.00. 
 
Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2023 ini bolehlah dirujuk melalui 7469844 (waktu pejabat)  atau info.statistics@jpes.gov.bn. 








Attachments
Created at 10/31/2023 11:19 AM by JPES Admin 1
Last modified at 10/31/2023 11:19 AM by JPES Admin 1