Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, akan mengendalikan Kajian Perbelanjaan Keluarga (KPK) 2023/24 bermula 1 Ogos 2023 sehingga 31 Julai 2024.
KPK 2023/24 adalah merupakan kajian yang ke tujuh seumpamanya dikendalikan di Negara Brunei Darussalam. Mulai tahun 2005, KPK dikendalikan setiap lima (5) tahun sekali, selaras dengan garis pandu dan piawaian antarabangsa.
Objektif utama KPK 2023/24 ialah untuk mengumpul maklumat terkini mengenai corak perbelanjaan dan tahap pendapatan keluarga. Maklumat daripada kajian ini nanti akan digunakan sebagai maklumat penting dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar, dan pengurusan sosio-ekonomi negara.
Majlis Upacara Mengangkat Sumpah bagi Pegawai Kajian KPK 2023/24 telah diadakan di Dewan Bahirah, Jabatan Audit, Jalan Menteri Besar, pada hari Sabtu, 29 Julai 2023. Hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Pemangku Ketua Pengarah JPES, Awang Hairol Nizam bin Haji Abdul Hamid.
Seramai 110 orang pegawai kajian yang dilantik oleh JPES bagi KPK 2023/24 telah mengangkat sumpah, dengan bacaan angkat sumpah yang diketuai oleh Awang Muhammad Azizan Bin Haji Abdul Razak. Dalam ucapan majlis tersebut, Pemangku Ketua Pengarah JPES telah menjelaskan bahawa KPK 2023/24 meliputi kira-kira 3,000 buah keluarga yang telah dipilih secara rambang di seluruh negara melalui kaedah pensampelan statistik. KPK 2023/24 akan dijalankan selama 12 bulan, yang mana kira-kira 260 buah keluarga akan dikaji setiap bulan untuk tempoh satu bulan sahaja. Ini adalah untuk mengambil kira variasi perbelanjaan bermusim seperti perbelanjaan di bulan Ramadhan, musim perayaan, awal persekolahan, dan cuti sekolah.